|
Tanjung Malim semakin maju |
Bandar Tanjung Malim terletak di selatan negeri Perak,
berhampiran dengan sempadan negeri Selangor. Ia terletak kira-kira 70 km di
utara Kuala Lumpur.
Tanjung Malim terletak betul-betul di sebelah utara Sungai
Bernam. Sungai Bernam menjadi garis sempadan antara negeri Perak dan Selangor.
Dalam peta, Ulu Bernam dan Tanjung Malim hampir pada titik koordinat yang sama.
Tanjung Malim terletak di laluan utama yang menghubungkan Ipoh dan kuala Lumpur
sekiranya tidak menggunakan lebuh raya.
Tempat yang berhampiran dengan Tanjung Malim ialah Ulu
Bernam, Kalumpang, Ketoyong, Behrang, Behrang Ulu, Kampung Kelawar dan Slim
River.
Sejarah
Tanjung berasal dari bentuk tanjung di ulu Sungai Bernam.
Malim pula berasal dari kata "muallim" yang bermaksud orang yang
sangat berilmu.
Pada 19 September 1903, rangkaian kereta api telah dibina
antara Perai di Seberang Perai melalui Tapah Road ,Tanjung Malim dan Kuala Kubu
terus ke Seremban sepanjang 450 km.
Pada 1922, Maktab Perguruan Tanjung Malim ditubuhkan oleh
British atas desakan Sultan Idris. Maktab ini dibiayai oleh Kerajaan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Kerajaan Negeri-Negeri Selat menggantikan
Maktab Perguruan Melaka dan Maktab Perguruan Matang, Taiping, Perak yang
ditutup. Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir George Maxwell
telah merasmikan maktab ini dan pengetua pertamanya ialah O.T Dussek.
Pada 25 Ogos 1957, seramai 2000 penduduk Tanjung Malim
menyertai gerakan menentang komunis kerana hutan Tanjung Malim dan Sungai Bil
serta hulu Sungai Bernam menjadi kubu pengganas komunis. 2000 orang ini
memasuki hutan belantara dan menyeru 5 orang pengganas komunis yang masih aktif
agar menyerah diri. Kapal terbang turut digunakan, menggunakan pembesar suara
agar pengganas komunis menyerah diri. Kawasan tinjauan sehingga 4 batu radius
selama 4 jam sejak jam 9.00 pagi. Mereka termasuklah Jawatankuasa Rakyat Setia
Tanjung Malim. Tentera dari Batalion ke-5 Askar Melayu serta 13 unit Pasukan
Polis Persekutuan serta tentera udara turut membantu dan menjaga keselamatan.
Pada 22 Disember 1958, Sekolah Menengah Melayu Tanjung Malim
dinamakan sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Razak sempena nama
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak Hussein. Menteri Pelajaran,
Encik Mohd Khir Johari datang merasmikan bangunan baru sekolah, dengan kos
RM1.5 juta. Pembinaan ini selaras dengan Penyata Razak 1956.
Plaza Tol pertama di Malaysia terletak di jalan besar antara
Slim River ke Tanjung Malim dibuka pada 1964. Jalan dua hala sepanjang 20 km
ini dinamakan 'Lebuh raya Tanjung Malim-Slim River'. Jalan besar ini dikenakan
tol, sebelum Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). Plus mula dibina pada 1988 dan
siap pada 1994. Sistem jalan raya bertol ini yang pertama di Asia.
Pada 1995 Perjanjian Pembangunan Tanah Industri Tanjung
Malim diadakan.Perak diwakili oleh Menteri Besar Perak,Tan Sri Ramli Ngah
Talib, Hicom oleh Presidennya Tan Sri Jamil Rais Mohd Jan dan Proton oleh
Pengarah Urusan, Datuk Nadzmi Mohd Salleh. Tanah seluas 1,260 hektar digunakan
untuk mengeluarkan 500,000 unit kereta Proton Gen-2 dan lain-lain.Majlis pecah
tanah tapak Proton dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr.
Mahathir Mohamad pada 23 Mac 1996.
Pada 1996, landasan kereta api berkembar antara Rawang -
Ipoh diluluskan. Tanjung Malim dan Serendah turut menikmati kemudahan ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik memaklumkan bahawa projek ini
seperti di Jepun dan Itali. Kelajuan maksimum kereta api ini ialah 250
kilometer/jam untuk jalan lurus dan 120 kilometer/jam untuk laluan selekoh.
Keistimewaan
Tanjung Malim terkenal kerana adanya Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), dulu Maktab Perguruan Sultan Idris.
Tanjung Malim juga terkenal sebagai tempat persinggahan
bas-bas ekspres yang mengikut jalan lama, sebelum wujudnya Lebuhraya
Utara-Selatan. Selepas terbinanya lebuh raya, bandar Tanjung Malim hampir
ditinggalkan. Di sini terdapat gerai kuih Pau atau Pau Tanjung Malim yang
sangat enak.
Tanjung Malim sekarang lebih dikenali apabila kerajaan
negeri Perak telah memulakan rancangan untuk membangunkan bandar baru iaitu
Bandar Behrang 2020 dan Bandar raya Proton.